Tuesday, February 2, 2010

Fungsi Kraf Tradisional

MENGENALPASTI FUNGSI-FUNGSI KRAF TRADISIONAL

Kraf tradisional boleh didefinisikan sebagai perusahaan kerja seni yang melibatkan kemahiran kerja tangan yang memerlukan daya cipta oleh masyarakat yang diwarisi turun-temurun. Di sekolah rendah, murid diperkenalkan dengan kraf tradisional seperti alat domestik, alat permainan, alat pertahanan diri, perhiasan diri (ornamen), batik, tekat, ukiran, tenunan, anyaman, tembikar dan lain-lain lagi. Kegiatan kraf tradisional memperkenalkan fungsi, proses dan teknik membuat, alat dan bahan, motif, corak dan hiasan.

Untuk mengenal pasti fungsi-fungsi kraf tradisional pada masa dahulu dan kini ia boleh dibahagikan kepada 6 perkara iaitu alat domestik, alat pertahanan diri, alat permainan, alat perniagaan, alat upacara pertabalan dan alat upacara keagamaan. Bagi fungsi kraf tradisional untuk alat domestik ia boleh dirujuk kepada sistem pertukaran barang yang juga boleh dikenali sebagai sistem barter.

Pada zaman dahulu, masyarakat di Tanah Melayu menyambut tetamu dengan menghidangkan tepak sirih dan kini ia digunakan untuk upacara merisik, tunang dan nikah. Masyarakat Melayu menggunakan tepak sirih sebagai pembuka kata. Tepak sirih khas digunakan sebagai barang perhiasan dan dalam upacara-upacara rasmi. Sistem pertukaran ini berlaku ketika proses menjalankan upacara seperti merisik, pertunangan dan perkahwinan dimana mereka akan bertukar barang dari satu pihak kepada pihak yang lain. Sila rujuk gambar rajah 1 di muka surat di bawah.

Tepak Sirih.

Selain itu juga, kraf tradisional seperti songket yang dijadikan tengkolok dan batik juga turut dijadikan bahan dalam proses pertukaran barang atau sistem barter dilakukan untuk memenuhi kepentingan keperluan masyarakat Melayu pada zaman dahulu. Pada masa dahulu juga, masyarakat di Malaysia banyak memberikan hadiah dan pertukaran barang dengan memberikan kain batik. Kain batik digunakan dalam pelbagai cara antaranya mengikat barang, kain sarung, alas meja, selimut dan sebagainya.

Tengkolok pula merupakan perhiasan diri bagi kaum lelaki memperagakan kegagahan mereka dan juga menunjukkan herarki pangkat seseorang. Namun pada masa kini barang kraf tradisional seperti songket dan batik digunapakai sebagai pakaian dan juga turut digunakan dalam melangsungkan perkahwinan raja sehari daripada fabrik kain songket. Batik juga turut dijadikan pakaian yang formal dalam majlis-majlis yang tertentu. Sila lihat gambar rajah 2 di sebelah.

Tengkolok yang diperbuat daripada kain songket.

Manakala fungsi kraf tradisional adalah untuk alat pertahanan diri antaranya ialah seperti keris yang sering digunakan oleh pahlawan pada zaman dulu kala yang digunakan untuk tujuan membunuh pihak lawan dan mempertahankan diri. Ukiran yang terdapat pada keris dan sarungnya memberikan banyak makna dan simbol yang tersendiri. Alat kraf ini turut dijadikan sebagai alat untuk menyelamatkan diri daripada pihak musuh. Namun pada masa kini, keris dijadikan sebagai bahan perhiasan dan kini boleh dilihat di pameran muzium negara dan balai seni hasil simpanan khazanah alat senjata masa silam. Sila lihar gambar rajah 3 dibawah.

Keris.

Bagi fungsi kraf tradisional alat permainan pada zaman dahulu dijadikan sebagai sumber untuk bersosial iaitu menghubungkan masyarakat pada ketika itu. Alat permainan seperti sepak takraw yang terdapat unsur anyaman kerap dimainkan oleh masyarakat Melayu ketika itu. Selain itu, Wau Bulan yang terkenal di negeri Kelantan dan Wau Burung di negeri Terengganu juga turut merupakan antara alat permainan masyarakat di Malaysia pada zaman dahulu yang berfungsi sebagai bahan untuk mereka mengisi masa lapang.

Selain daripada alat permainan, alat muzik juga merupakan alat yang menjadi hiburan kepada masyarakat Malaysia pada zaman dahulu sebagai contoh ialah gendang. Gendang berfungsi dalam meraikan majlis keramaian dan juga bertujuan untuk menghiburkan suasana sesuatu upacara atau perayaan. Kompang juga turut dijadikan sebagai bahan bunyian yang digunapakai pada majlis perkahwinan dan cukur jambul bagi masyarakat kaum Melayu. Kini alat muzik masih kekal dan digunapakai dalam majlis-majlis tertentu dan juga dijadikan sebagai barangan perhiasan. Sila lihat gambar rajah 4.


Alat muzik gendang.

Alat perniagaan dalam kraf tradisional seperti ukiran kayu, tenunan, batik, tekat atau sulaman dan tembikar banyak dipasarkan sejak zaman dahulu lagi. Barangan kraf tradisional seperti yang dinyatakan menjadi bahan keperluan dan tujuan perniagaan adalah untuk menyara kehidupan harian masyarakat Malaysia ketika itu. Kini barangan kraf tradisional itu masih kekal dipasaran dan dikomersialkan untuk tujuan memberikan keuntungan kepada pembekal dan peniaga runcit. Dalam masa yang sama barang kraf tradisional yang di niagakan ini banyak memberikan bantuan bagi meningkatkan pasaran ekonomi negara kerana keaslian barangan yang berkualiti dan bermutu tinggi.

Cokma dan Tengkolok.

Dalam kraf tradisional juga terdapat alat upacara pertabalan seperti cokma dan tengkolok yang menunjukkan simbol kekuasaan dan darjat pangkat seseorang itu pada zaman dahulu. Cokma yang dimiliki oleh sultan atau raja-raja di pegang bagi menunjukkan kegagahan dan kekuasaan pimpinan kedaulatan mereka. Kini kraf tradisional alat upacara pertabalan masih kekal digunakan dalam majlis-majlis tertentu seperti perlantikan, pertabalan dan sebagainya. Sila lihat gambar rajah 5. Selain daripada itu juga, alat upacara pertabalan ini turut dijadikan sebagai barangan antik dan dipamerkan dalam khazanah muzium untuk pendedahan sejarah adat istiadat diraja kepada masyarakat di Malaysia.

Alat upacara keagamaan kraf tradisional juga turut digunapakai oleh masyarakat pada zaman dahulu di Malaysia yang percaya kepada semangat dan patung-patung yang dipuja. Sebagai contoh patung-patung ukiran dan boneka yang mana mereka percaya bahawa perkara ini dapat membantu menjaga kemakmuran dan ketenteraman masyarakat setempat. Selain itu juga, wayang kulit juga dapat membuat seseorang itu asyik dan berkhayal dengan persembahan cerita dan muzik dan dimainkan. Kini alat upacara keagamaan seperti wayang kulit dan sebagainya dijadikan sebagai barang perhiasan dan dipamerkan di galeri untuk tujuan pameran. Sila lihat gambar rajah 6 di bawah.

Patung-patung boneka dan wayang kulit.

Kraf tradisional ini merupakan mercu tanda nasional penting kepada negara kita Malaysia. Tanpa kraf tradisional maka imej masyarakat Malaysia kurang mendapat tempat dan kurang dikenali umum serta ketiadaan ciri-ciri nasional yang bersifat mencerminkan jati diri negara. Sememangnya nilai tanah air bergantung daripada kraf tradisional yang dihasilkan oleh masyarakat Malaysia.

Terdapat banyak elemen yang boleh dikaitkan dengan jati diri bangsa. Seseorang yang berjati diri bukan sahaja gemar berbusana tradisi seperti batik dan songket tetapi juga dalam kehidupan sehariannya, menampilkan hidup berbudi bahasa dan bersopan santun. Mereka juga bukan saja cenderong menikmati makanan tradisi tetapi dari segi intelektual mampu membaca dan menggarap ketinggian seni sastera Melayu termasuk puisi seperti pantun. Masyarakat pada hari ini bukan semata-mata berbentuk komersial dan industri tetapi lebih kepada menyemarakkan lagi aktiviti seni kraf tradisional sehingga dapat berkembang dalam bentuk yang lebih indah dan seterusnya menyumbang kepada kemajuan tamadun 1 Malaysia.

1 comment: